Operator kilang maut, cebisan tulang ditemukan – Polis
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh berkata cebisan tulang dipercayai milik lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditemukan pada 5.57 petang setelah pencarian dilakukan rakan sekerjanya berikutan ada mesin yang beroperasi tanpa penjaga.
Ahmad Ridhwan berkata mengikut pengurus kilang itu yang membuat laporan pada 9.15 malam tadi, mangsa yang baru bekerja selama lapan hari telah keluar rehat pada 1 petang dan masuk semula bekerja 50 minit kemudian.
Beliau berkata rakan sekerja mangsa yang telah selesai rehat pada 2.30 petang mendapati lelaki itu tiada di lokasi dan ada mesin yang beroperasi tanpa operator.
Susulan itu, mereka mula mencari mangsa di sekitar kilang dan telah menjumpai kasut, cebisan baju serta tulang manusia di hujung mesin penghantar di atas timbunan serat sawit pada pukul 5.57 petang.
Ahmad Ridhwan berkata mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin pemprosesan tandan sawit ketika mengendalikannya dan kesemua cebisan bahagian tubuh itu dibawa serta diurus oleh Unit Perubatan Forensik Hospital Banting, dekat sini.
“Tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.