Sorting by

×

Tiga keluarga buntu, banjir kilat ‘air kumbahan’ tiada penyelesaian

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

JASIN 21 Ogos – Tiga keluarga dari Taman Seroja Empat, Taman Maju, di sini, buntu mencari penyelesaian masalah banjir kilat didakwa berpunca daripada limpahan lubang kumbahan setiap kali berlaku hujan lebat.

Mohd Shah Ali, 59, berkata, sepanjang 14 tahun menghuni kediaman itu jumlah banjir kilat yang berlaku sudah tidak lagi terhitung, malah, kejadian itu membuatkan dia tawar hati untuk menghias rumah atau membeli perabot baharu.

Katanya, masalah banjir kilat didakwa berpunca daripada limpahan lubang kumbahan itu hanya membabitkan kediamannya dan dua lagi rumah lain di taman berkenaan.

“Kalau rumah sewa sudah lama saya lari (berpindah) kerana di lorong ini rumah kami bertiga sahaja dilanda banjir kilat. Saya resah setiap kali hujan, perasaan memang tidak tenang.

“Malah mahu tinggalkan rumah juga bimbang, air dari lubang kumbahan boleh melimpah keluar dan memenuhi ruang dalam rumah pada bila-bila masa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp Image 2024 08 21 At 8.33.15 Am
MOHD Shah.

Pesara tentera ini berkata, bagi mengatasi masalah itu dia sudah beberapa kali melakukan ubah suai dibahagian dapur namun usaha itu tidak banyak mengubah keadaan.

“Minggu lalu sudah kena dan kali ini paling teruk, longkang belum penuh tetapi air lubang kumbahan sudah melimpah. Sejujur sudah penat untuk berdepan dengan keadaan ini justeru itu saya amat berharap agar jabatan atau agensi berkenaan dapat membantu kami menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa Nona Bujang, 60, berkata, dia dan suami sudah buntu mencari penyelesaian mengatasi masalah ‘banjir air kumbahan’ itu.

“Bukannya baru berlaku dua tiga tahun tetapi puluh tahun. Bila sahaja hujan lebat sekejap sahaja rumah sudah penuh air. Airnya deras, bukannya kami tidak cuba tutup lubang tetapi air tetap akan melimpah keluar melalui tandas ke dapur dan ruang tamu,” katanya.

Nona yang sudah 27 tahun menetap di taman itu berkata, dalam tempoh lapan bulan tahun ini sudah empat kali rumahnya banjir.

“Penat memang penat kerana sebaik air surut kami perlu mencuci rumah sebersihnya ditambah pula saya menghidap asma jadi ianya agak mencabar. Saya memohon agar masalah yang dihadapi kami ini diberi perhatian sewajarnya dan diselesaikan secepatnya oleh pihak berkaitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post Pekebun kecil ‘berkampung’ di Melaka bincang masa depan industri sawit
Next post Banjir kilat air kumbahan: Masalah dirujuk kepada MPJ, IWK
Ubah saiz-+=