Sorting by

×

Penebangan hutan di Amazon cecah 11,000 km persegi

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SAO PAULO 1 Dis. – Berikutan pelonggaran undang-undang alam sekitar di bawah Presiden Brazil Jair Bolsonaro, penebangan di hutan hujan Amazon kini sudah melebihi 11,000 kilometer (km) persegi, lapor Agensi Anadolu.

Menurut data rasmi dikeluarkan pada Isnin, penebangan hutan mencapai tahap terburuk sejak 2008, ketika program pemantauan dikenali PRODES mencatatkan seluas 12,911 km persegi kawasan telah ditebang.

PRODES memantau penebangan hutan di Legal Amazon menerusi satelit, merangkumi wilayah barat negeri Maranhão dan seluruh wilayah Acre, Amapá, Amazonas, Mato Grosso, Pará, Rondônia, Roraima dan Tocantins, dan menerbitkan laporan tahunan sejak 1988.

Menurut angka rasmi Institut Penyelidikan Angkasa Negara (Inpe), kawasan penebangan hutan di Amazon adalah 11,088 km persegi antara Ogos 2019 dan Julai 2020, meningkat 9.5 peratus berbanding tempoh sebelumnya (Ogos 2018 hingga Julai 2019), iaitu 10,129 km persegi.

Pengukuran dibuat dengan membandingkan gambar satelit dari akhir Julai dengan awal Ogos tahun sebelumnya.

Data hari ini menunjukkan pentadbiran Bolsonaro dan Menteri Alam Sekitar Ricardo Salles gagal memenuhi rancangan yang diumumkan pada 2019.

Tanpa menyatakan sasarannya, Salles ketika itu berkata mahu menghapuskan aktiviti penebangan hutan haram tanpa memberikan butiran lanjut.

Pada Isnin,wakil presiden Hamilton Mourao, yang mengetuai Majlis Amazon, berkata kehadiran tentera untuk memerangi aktiviti penebangan hutan sudah agak ‘terlewat’.

Bagaimanapun, ia serba sedikit turut memberi kesan, apabila dianggarkan hanya 20 peratus   pertambahan kawasan penebangan hutan.

“Ia bukanlah pencapaian yang boleh diraikan. Sebaliknya, kami mahu melihat tiada langsung penebangan hutan secara haram dalam apa keadaan sekalipun,” kata Mourao.

— BERNAMA

Views:

735
Kongsi :
Previous post Melaka sasar bebas AIDS 2030
Next post Pengurus syarikat didakwa miliki 22 senjata paintball menyerupai senjata tiruan
Ubah saiz-+=