32 pingat emas jadi rebutan dalam acara seni mempertahankan diri, hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUCHING, 20 Ogos – Sukan mempertahankan diri kembali menjadi tumpuan apabila mempertaruhkan 32 daripada keseluruhan 78 pingat emas yang ditawarkan pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, hari ini.

Yang dinanti-nantikan oleh peminat sukan berkenaan pastinya aksi Miki atau nama sebenarnya Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, atlet Muay Thai tuan rumah di pentas final di Paragon Mall, Bintulu.

Adik kepada atlet sensasi Muay Thai negara, Muhammad Johan itu akan membuat perhitungan dengan wakil Melaka, Muhammad Zulfakar Othman.

Pada saingan hari ini, sebanyak 14 pingat emas menjadi taruhan di gelanggang Muay Thai, manakala pencak silat di Stadium Bandaraya Miri menawarkan lapan emas.

Sementara itu, acara judo di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan silambam di Hikmah Exchange Event Center yang membuka tirai hari ini, masing-masing mempertaruhkan empat pingat emas manakala taekwondo yang memasuki hari keempat di Stadium Perpaduan Petra Jaya menawarkan dua emas.

Olahraga yang memasuki hari kedua di Stadium Sarawak pula menawarkan 13 emas dengan tumpuan pastinya kepada Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, kedua-duanya dalam acara 200 meter selepas mereka mendominasi acara 100 meter, semalam.

Selain itu, sebanyak 12 pingat emas menjadi taruhan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong dengan sembilan daripadanya menerusi acara renang manakala tiga lagi bagi acara terjun.

Turut menawarkan emas adalah acara menembak dengan enam pingat, sepak takraw (empat), petanque dan angkat berat masing-masing tiga, tenpin boling dan lawan pedang masing-masing dua manakala badminton satu.

Sementara itu, antara acara yang masih meneruskan saingan hari ini ialah bola sepak lelaki yang memasuki saingan suku akhir, bola keranjang 5×5, bola sepak wanita, bola tampar pantai, boling padang dan tinju.

SUKMA 2024 berlangsung hingga 24 Ogos ini. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

138
Kongsi :
Previous post 7 termasuk suami isteri ditahan, dadah lebih RM10 juta dirampas
Next post Dua mayat dalam longkang, polis tahan lelaki warga asing
Ubah saiz-+=