Dulu jual martabak megi, sekarang tauke patti daging burger

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

MASJID TANAH 19 Ogos – Bermula dengan berniaga martabak megi di pasar malam, kini bergelar usahawan daging burger, itulah kejayaan dikecapi Khairul Azril Ahmad, 46, atas kesungguhan dan minatnya dalam bidang perniagaan.

Khairul berkata, pada awalnya dia menjalankan perniagaan berkaitan syarikat pembinaan, namun perancangannya dalam bidang itu tidak berapa menjadi, malah pulangan diperoleh bukan seperti yang diharapkan.

Bapa kepada enam anak ini berkata, berbekalkan modal RM10,000 sumbangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan rakan terdekat dia kemudian membeli kelengkapan untuk berniaga burger di Bandar Baru, Sungai Udang.

“Kisah saya bermula di Kuala Lumpur, berniaga di sana, tetapi atas sebab perniagaan kurang menjadi saya pulang ke Melaka pada 2017. Ketika itu bingung tidak tahu apa mahu dibuat untuk jana pendapatan.

“Selepas pulang ke Melaka saya berkahwin baharu (isteri pertama meninggal dunia), saya cuba jadi petani, kemudian jual martabak megi di pasar malam. Sambutan martabak megi tidak begitu baik, kemudian terfikir kenapa tidak buka kilang ‘patty burger’ sendiri.

“Alhamdulillah berkat sumbangan dan modal dikumpul hasil niaga kedai burger di Sungai Udang pada 2019, kini saya mempunyai kilang patti daging burger sendiri,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemprosesan Makanan Sejuk Beku Dapur 5A, Masjid Tanah.

6188473692699344663
KAKITANGAN menyiapkan tempahan burger di Pusat Pemprosesan Makanan Sejuk Beku Dapur 5A, Masjid Tanah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Berkongsi kejayaannya usahawan MAIM ini memberitahu, dia menyasarkan untuk menjual sehingga 100,000 keping daging burger sehingga hujung tahun ini.

“Produk dihasilkan ketika ini adalah patti daging lembu, patti ayam, patti kambing dan patti ayam panggang. Sasaran saya adalah untuk pasarkan dahulu di seluruh Malaysia.

“Ada juga berbincang dengan pemilik Halal Valet di Johor Bahru, Johor untuk pasarkan patti pada awal September tahun ini,” katanya.

Ditanya mengapa memilih nama kilang sebagai ‘Dapur 5A’, dia memberitahu ia disebabkan nama semua anaknya bermula dengan Huruf ‘A’, selain melambangkan kekeluargaan dan kecemerlangan

“Kenapa dapur 5A, sebenarnya waktu nak cari nama kilang saya dan isteri mahu letak nama dapur sahaja, tetapi macam pendek sangat. Kebetulan anak-anak waktu itu lima orang nama semua bermula huruf A.

“Syukur alhamdulillah sejak Dapur 5A dibuka, ternyata ia mendapat sambutan daripada orang ramai, insya-Allah dengan kesempatan diberikan ini saya akan usahakannya sampai bila-bila,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

172
Kongsi :
Previous post Dr. Masilla terima Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia
Next post Bekas guru dituduh bunuh cikgu Istiqomah
Ubah saiz-+=