Sorting by

×

Konsert Lambang Sari rancakkan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Konsert Lambang Sari Series 3 (LSS3): Kita Jiwa Merdeka anjuran Istana Budaya berupaya merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024)

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata, TMM2024 merupakan peluang terbaik untuk Istana Budaya memperkenalkan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) kepada masyarakat tempatan khususnya rakyat Melaka.

Katanya, Konsert LSS3 itu merupakan persembahan muzik klasikal pop bertemakan patriotik seiring dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dengan mengangkat penceritaan melalui peredaran era muzik sebagai simbolik mencerminkan perjalanan sejarah dan semangat kemerdekaan negara.

“Persembahan LSS3 anjuran Istana Budaya menerusi Kempen Gerak itu mempamerkan persembahan daripada 58 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan Artistana (Artis Istana Budaya) selama dua hari iaitu 16 dan 17 Ogos.

“Lebih menarik lagi persembahan LSS3 itu menampilkan persembahan dari artis terkenal tanah air seperti Liza Hanim; Azlan Typewriter; Asmidar dan Azizul Haqim,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, konsert yang diadakan di Panggung Seri, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Melaka, di sini, itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias serta kenamaan lain.

Persembahan yang berdurasi satu jam 30 minit itu merupakan hasil garapan pengarah persembahan Mohd Zulfaqar Awaluddin atau lebih dikenali sebagai Belalang.

Lebih 350 penonton hadir menyaksikan persembahan bertenaga dari pemuzik dan penyanyi pada konsert tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post Perkukuh ekonomi domestik bantu atasi tempias faktor luaran – PM
Next post Melaka anjur pelbagai program semarak ‘Jiwa Merdeka’
Ubah saiz-+=