Sorting by

×

Koridor Ekonomi Anjung Selatan, beri manfaat tiga negeri

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 Ogos – Koridor Ekonomi Anjung Selatan sedang dirangka mampu membawa perubahan besar dan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi kawasan sempadan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Susulan itu perbincangan terperinci akan dilaksanakan antara wakil Kerajaan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan pada bulan hadapan bagi merealisasikan hasrat berkenaan yang dianggap penting dalam membantu meningkatkan lagi tahap ekonomi rakyat setempat.

Serius mengenai perkara itu Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hasrat Koridor Ekonomi Anjung Selatan adalah menggabungkan potensi pembangunan ekonomi antara ketiga-tiga negeri menerusi pelbagai sektor.

Ketua Menteri berkata, koridor itu akan menumpukan potensi dan peluang pembangunan ekonomi terutama setiap perbatasan sempadan antara negeri yang akan membawa unjuran ekonomi buat penduduk setempat.

“Koridor ini mempunyai potensi besar jika digabungkan ketiga-tiga negeri ini yang mana melibatkan pelbagai sektor terutama pelancongan dan perindustrian.

“Melaka mempunyai sempadan antara Johor dan Negeri Sembilan. Begitu juga Johor dan Negeri Sembilan yang juga bersempadan, kita akan laksanakan kajian ekonomi supaya bersama-sama dapat memajukan kawasan perbatasan ini nanti.

“Limpahan ekonomi dapat dihasilkan di kawasan berpotensi antara sempadan dan inilah kaedah yang dinamakan Koridor Ekonomi Anjung Selatan. Kita akan melakukan perbincangan terperinci menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) setiap negeri tidak lama lagi supaya hasrat ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran pada segmen bual bicara Dak Rauf Masuk Konti di MelakaFM, Bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka, di sini hari ini.

Ab Rauf berkata, Pusat Ekopelancongan Paya Lebar terletak di sempadan Melaka dan Negeri Sembilan adalah contoh lokasi boleh dimajukan lagi menerusi koridor yang sedang dicadangkan.

“Sungai Linggi memisahkan dua negeri ini dan jika Melaka sudah bangunkan sebuah pusat ekopelancongan kita seharusnya memberi sokongan kepada Negeri Sembilan dengan memperkenalkan produk lain yang menambahkan lagi potensi kepada pertumbuhan sektor itu.

“Satu lagi kita juga merencanakan untuk membina 5,000 ekar kawasan perindustrian di Utara Melaka, kawasan ini juga terletak di sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan.

“Jadi daripada langkah ini ia sudah pasti akan menerima limpahan ekonomi, sekali gus menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi antara kedua-kedua negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

182
Kongsi :
Previous post SSPA: Pelarasan gaji 15 peratus kepada kumpulan pelaksana – PM Anwar
Next post PDRM tewaskan Polis Thailand, julang Piala Rujirawongse
Ubah saiz-+=