Hadiah untuk pemegang Mykad ’04’ dan ’30’

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 Ogos – Bersempena Hari Kelahiran Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam 24 Ogos ini, rakyat Melaka diberikan ‘hadiah’ iaitu kemasukan percuma ke lokasi pelancongan popular sekitar negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bagi menikmati tawaran itu orang ramai disyarakat untuk melanggan ‘MyMelaka News’ menerusi aplikasi Telegram.

Katanya, selepas pendaftaran di ‘MyMelaka News’ individu berkenaan akan menerima satu kod ‘QR’ yang boleh digunakan untuk masuk ke lokasi tumpuan pelancongan bermula 24 Ogos hingga 31 Disember 2024.

Jelas Ketua Menteri, tawaran itu hanya dibuka buat anak kelahiran Melaka pemegang MyKad berdaftar di negeri ini dan layak memilih hanya satu daripada pusat pelancongan akan diumumkan nanti.

“Hadiah atau tawaran ini khusus untuk satu juta rakyat Negeri Melaka atau pemegang Mykad ’04’ dan ’30’ bermula daripada bayi hingga warga emas.

“Jangan terburu-buru, mereka yang layak boleh masuk ke lokasi tumpuan pelancongan berkenaan pada bila-bila masa hingga 31 Disember 2024. Rancang lawatan anda, tidak perlu bersesak atau serbu lokasi pelancongan berkenaan pada satu masa, sekali gus,” kata Ketua Menteri ketika sidang media selepas bersiaran pada segmen bual bicara Dak Rauf Masuk Konti di MelakaFM, Bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri juga sedang merangka kaedah bersesuaian untuk pemastautin di negeri ini agar mereka juga dapat menikmati tawaran diberikan.

“Kita sedang melihat perkara ini dengan kaedah-kaedah yang akan diperincikan seperti pengesahan menggunakan bil api, bil air dan sebagainya.

“Namun apa pun, kita berikan keutamaan kepada kira-kira sejuta anak Melaka yang mempunyai kad pengenalan ‘04’ dan ’30’ dahulu dan ia hanya layak buat seorang satu, contohnya jika ada 10 individu mereka semua perlu melakukan pendaftaran dan langganan di siaran tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4102
Kongsi :
Previous post SUKMA 2024: Skuad memanah fokus peroleh pingat
Next post SSPA: Pelarasan gaji 15 peratus kepada kumpulan pelaksana – PM Anwar
Ubah saiz-+=