Sorting by

×

Pengurusan tanah industri cekap, tambah minat pelabur

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Langkah meningkatkan kecekapan pengurusan bagi pembangunan industri di negeri ini akan terus diperkasakan, sekali gus melancarkan usaha memperkukuh ekonomi negara dengan menarik lebih ramai pelaburan domestik dan asing.

Bagi memperkasa hasrat itu satu program khas dianjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka bertujuan meningkatkan kecekapan urusan pengambilan tanah yang sering kali menjadi cabaran utama dalam melaksanakan projek pembangunan industri dan infrastruktur.

Pengarah MPC Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh berkata, penglibatan pelbagai agensi kerajaan di Melaka antaranya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat mendedahkan dan menambah baik setiap urusan pengambilan tanah dalam sektor perindustrian.

“Proses pengambilan tanah melibatkan pelbagai peringkat seperti semakan dokumen, rundingan, pertimbangan oleh jawatankuasa, pewartaan dan pembayaran pampasan.

“Cadangan penambahbaikan dibincangkan termasuklah mempercepatkan proses semakan dokumen, mengurangkan tempoh masa rundingan dan kelulusan oleh jawatankuasa dalam pengurusan permohonan serta dokumentasi.

“Penambahbaikan ini dijangka akan memendekkan tempoh keseluruhan proses pengambilan tanah, seterusnya menghasilkan impak signifikan terhadap pembangunan ekonomi Melaka,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Beliau berkata, program khas iaitu Bengkel Meningkatkan Urusan Pengambilan Tanah Bagi Pembangunan Industri Negeri Melaka baru-baru ini mampu membawa impak kepada pelaburan negeri dan menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan yang stabil serta mesra perniagaan.

Katanya, kestabilan, kepantasan dan kepastian dalam urusan pengambilan tanah serta pelaksanaan projek merupakan antara kriteria meyakinkan pelabur antarabangsa memilih sesebuah negeri.

“Kecekapan dalam urusan pengambilan tanah bukan sahaja penting untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam dan pengawal selia, tetapi juga amat kritikal dalam memudahkan urusan pelabur selain peniaga.

“Apabila proses ini berjalan dengan lancar, ia menyumbang kepada peningkatan hasil kepada PBT, keuntungan kepada syarikat dan pelabur serta manfaat yang besar kepada masyarakat setempat. Ini akan mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif dan seterusnya mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

133
Kongsi :
Previous post PDRM tewaskan Polis Thailand, julang Piala Rujirawongse
Next post Geran RM15,000 untuk usahawan MAIM terpilih
Ubah saiz-+=