Angkat produk usahawan kecil ke pasar raya
AYER KEROH 15 Ogos – Lebih 10 syarikat pengendali jenama pasar raya terkemuka dan pemasar dalam talian membuka peluang buat peniaga kecil untuk meluaskan lagi pasaran produk masing-masing.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, peluang itu terbuka menerusi Jelajah Padanan Perniagaan MARA dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di Bandaraya Melaka, 4 September depan.
Katanya, jelajah yang diadakan itu juga membuka peluang perbincangan empat mata antara usahawan kecil, pengendali pasar raya dan platform dalam talian, sekali gus menyingkatkan masa bagi menyelesaikan urusan berkaitan.
“Program ini melibatkan kira-kira 10 syarikat seperti Mydin, Aeon, Kedai Mesra PETRONAS, BHP Petrol, rangkaian perniagan platform dalamtalian dan pelbagai lagi.
“Usahawan akan diberikan pendedahan mengenai kaedah untuk memastikan produk mereka dapat dipamer dan dijual di pasar raya terkemuka mengambil bahagian dalam jelajah ini.
“Program ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan kecil, peluang terbuka untuk mereka luaskan lagi pasaran produk diusahakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut Allex Seah berkata, sebelum ini usahawan kecil terpaksa menunggu lama sebelum mendapat persetujuan daripada pengendali pasar raya selain perlu menghantar kertas kerja dan melakukan pembentangan mengenai produk mereka.
“Menerusi jelajah ini semua urusan seperti sesi temuduga dan pembentangan dilakukan secara langsung dengan wakil pengendali pasar raya terlibat.
“Bagi yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mereka boleh mendaftar di https://mara2u.my/bissmatch/register1.php atau menghubungi di talian 03-2613 4836 (Zuraini); 03-2613 4819 (Wan Khazila) atau 03-2613 4316 Yon,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.