Rumah sewa terbakar, lima termasuk kanak-kanak terselamat

Masa Membaca:56 Saat

KESIDANG 14 Ogos – Kebakaran sebuah rumah sewa dua pintu di Kampung Bertam Malim, di sini, bukan sahaja menggemparkan penduduk setempat malah pengguna jalan raya apabila asap tebal dan api besar jelas kelihatan dari jarak kira-kira 100 meter.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu mengakibatkan kediaman jenis separa kekal itu musnah 90 peratus.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 12.15 tengah hari sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan Cheng bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati api sedang marak dan pasukan bomba bertindak mengawal kebakaran.

“Dikatakan kebakaran dipercayai bermula dari sebuah bilik di kediaman terbabit sebelum merebak ke ruangan lain,” katanya.

Menurut JBPM, difahamkan hanya sebuah daripada unit premis itu mempunyai penghuni manakala sebuah lagi tiada penyewa.

“Difahamkan kesemua lima penghuni rumah sewa itu termasuk tiga kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Jelasnya, punca kebakaran masih belum diketahui dan pasukan forensik bomba akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

485
Kongsi :
Previous post 124 ‘hotspot’ banjir di Melaka
Next post Melaka miliki 21 Kelab Falak dan Astronomi
Ubah saiz-+=