124 ‘hotspot’ banjir di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 14 Ogos – Sebanyak 124 lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan panas (hotspot) banjir di negeri ini oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka.

Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz berkata, kawasan itu membabitkan kesemua tiga daerah di negeri ini dengan Melaka Tengah direkodkan sebagai daerah tertinggi ‘hotspot’ banjir iaitu sebanyak 59 lokasi.

“Ia diikuti daerah Jasin, sebanyak 42 ‘hotspot’ dan 23 lokasi di Alor Gajah.

“Untuk itu apabila cuaca hujan lebat anggota dan pegawai terlibat akan melakukan pemantauan paras air di sungai berhampiran selain keadaan semasa di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi hotspot,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan Ogos 2024 (Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan) Peringkat JBPM Melaka.

Menurut Mohd Pisar, JBPM Melaka juga sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana banjir dan sedia menggerakkan kekuatan operasi dengan sebaiknya.

Jelasnya, bukan sahaja perancangan atur gerak rapi sudah dibuat malah kesiapsagaan aset juga berada dalam keadaan sedia pada bila-bila masa.

“Dari segi aset dan logistik boleh katakan 80 peratus berada dalam keadaan siap sedia untuk digerakkan apabila berlakunya sebarang kejadian seperti banjir yang berlaku di Masjid Tanah.

“Malah seramai kira-kira 500 orang pegawai termasuk anggota di seluruh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Melaka juga berada dalam keadaan bersiap sedia untuk digerakkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

366
Kongsi :
Previous post Tarik minat rakyat dalami ilmu falak – Mufti Melaka
Next post Rumah sewa terbakar, lima termasuk kanak-kanak terselamat
Ubah saiz-+=