Media, pempengaruh di Melaka perlu bersama main peranan
AYER KEROH 14 Ogos – Pengamal media dan pempengaruh media sosial perlu bersama-sama Kerajaan Negeri memainkan peranan mereka lebih-lebih cabaran media massa kini berdepan dengan kepantasan teknologi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad berkata, kedua-dua pihak itu perlu memahami peranan mereka dan mengamalkan ‘check and balance’ supaya tidak mencetuskan perbalahan antara rakyat.
Menurutnya, kod etika kewartawanan juga perlu menjadi pegangan pengamal media agar nilai berita yang lebih seimbang dapat membantu pembangunan negeri ini.
“Saya harap agar ‘influencer’ juga yang merupakan sebahagian daripada cabang media ini bersama-sama Kerajaan Negeri supaya mementingkan fakta yang betul dan penyampaian mesej yang ‘neutral’ dan perlu ada ‘check and balance’ supaya ia tidak menjadi punca perbalahan rakyat.
“Sesunguhnya kita tahu kuasa media sosial amat besar untuk membentuk pemikiran masyarakat di tambah dengan media tanpa sempadan pada hari ini, netizen bebas menularkan sebuah cerita tanpa menyelidik terlebih dahulu.
“Jadi di sinilah peranaan wartawan untuk bersama-sama kita memastikan penyebaran berita dan informasi yang sebenar tanpa menokok tambah nilai berita, teruskan berkarya untuk bersama memastikan imej Melaka dapat membantu mempromosikan negeri ini sebagai negeri pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapannya merasmikan Majlis Apresiasi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat; Presiden Persatuan Wartawan Melaka (MJA), You Jia Yong; serta tetamu lain.
Terdahulu, kira-kira 300 pengamal media, pempengaruh dan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti MBMB diraikan dengan majlis makan malam diadakan pada malam tersebut.
Dalam pada itu, Azhar berkata, majlis diadakan itu sekali gus mampu memperkukuh hubungan baik antara pengamal media terutamanya bersama MBMB.
“Majlis Apresiasi ini merupakan program yang dianjurkan secara tahunan oleh MBMB bagi menghargai sumbangan serta sokongan pihak media dan komuniti di samping menjalinkan hubungan dua hala yang positif secara berterusan.
“Dua kumpulan berkepentingan ini sangat penting dalam penyampaian maklumat yang berkesan kepada warga bandaraya agar menjadikan perkhidmatan bandaraya MBMB lebih efisien dan relevan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.