Pasukan Bomba Sukarela Melaka diperkasa

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 14 Ogos – Sejumlah RM15,000 diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, khusus bagi pembangunan serta pengurusan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz berkata, sehingga kini di Melaka terdapat enam PBS dengan jumlah keseluruhan keanggotaan seramai 200 orang.

“Untuk tujuan pembangunan dan pengurusan PBS ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15,000 untuk diagihkan kepada lima buah PBS dengan setiap satu akan menerima RM3,000.

“Lima PBS itu adalah PBS Lubok China, PBS KRT Batang Melaka, PBS Machap Baru, PBS Paya Mengkuang dan PBS Kuala Sungai Baru.

“Dengan peruntukan diterima ini diharap akan membantu jabatan dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi PBS termasuk menambah baik ‘response time’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan Ogos 2024 (Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan) Peringkat JBPM Melaka.

Mohd Pisar berkata, menjadi hasrat jabatan juga untuk menubuhkan sekurang-kurangnya satu lagi PBS di Melaka pada hujung tahun ini terutamanya di kawasan pinggir bandar.

“Meskipun di Melaka ini kawasannya tidak luas tetapi masih terdapat lokasi yang perlu diwujudkan PBS bagi menangani insiden di peringkat awal.

“Untuk itu kita akan mempergiatkan lagi aktiviti ataupun promosi bagi mendapatkan sambutan keanggotaan PBS di kawasan tertentu,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama seramai 55 orang pegawai bomba menerima tanda pangkat membabitkan grade KB26, KB24 dan KB22.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

138
Kongsi :
Previous post Semua PPS ditutup, mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah
Next post Media, pempengaruh di Melaka perlu bersama main peranan
Ubah saiz-+=