Sorting by

×

Ujian khidmat selular kesan lima ‘dropped calls’

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

DUYONG 13 Ogos – Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular sekitar daerah Jasin dan Melaka Tengah sejauh 70 kilometer hari ini mengesan lima isu ‘dropped calls’ atau panggilan telefon bimbit tiba-tiba terputus.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ujian itu membabitkan panggilan suara selain kualiti internet yang kerap menjadi rungutan pengguna sekitar lokasi berkenaan.

“Kali ini kita fokus kepada laluan di kedua-dua daerah ini bermula dari Taman Botanikal, Bukit Katil, Ayer Molek, Sungai Rambai, Merlimau, Telok Mas dan berakhir di Duyong.

“Hasil ujian ini kita mengesan lima panggilan terputus yang bukan diambil secara rambang, tetapi berdasarkan kepada aduan masyarakat dan wakil rakyat.

“Dengan penglibatan enam wakil pengendali syarikat telko, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) serta  Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka, insya-Allah kita akan dapat selesaikan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjalankan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di Melaka di Kompleks Japerun Duyong, hari ini.

Hadir sama Pengarah SKMM Negeri Melaka, Syed Isa Alsagoff dan Ketua Pegawai Operasi MICTH, Mohd Jailani Deraman.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berharap syarikat telko terlibat dapat bersama membantu Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya mohon kepada pihak telko bersama membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah berkaitan dengan liputan rendah ini khususnya di kawasan kampung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

226
Kongsi :
Previous post LPM semarak semangat kibarkan Jalur Gemilang
Next post Menara telekomunikasi KPM Ayer Molek beroperasi November ini
Ubah saiz-+=