MPHTJ edar 7,000 notis pasang Jalur Gemilang
AYER KEROH 13 Ogos – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah mengedarkan kira-kira 7,000 notis pemasangan Jalur Gemilang kepada pemilik premis di bangunan masing-masing.
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata arahan notis itu bertujuan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat bersempena Bulan Kebangsaan.
Katanya, MPHTJ telah memasang 5,000 helai Jalur Gemilang sekitar kawasan pentadbirannya termasuk di bangunan milik MPHTJ dan laluan-laluan utama.
“Cuma saya ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk mengutamakan keselamatan ketika memasang Jalur Gemilang dan beri perhatian kepada bendera yang dipasang agar tidak berlaku kejadian tersalah pasang.
“Perkara ini pernah berlaku yang mana jalur pada Jalur Gemilang tidak cukup 14, bucu bintang pada bendera tidak cukup,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ Bilangan 7 dan Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat MPHTJ yang disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin di Melaka Mall di sini hari ini.
Pada majlis sama turut berlangsung penyerahan hadiah kepada Pasukan Pandu Misteri MPHTJ yang memenangi tempat kesembilan dari 40 pasukan mengambil bahagian pada Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) SeMalaysia (MALA) 2024 pada 2 Ogos lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.