Bah di daerah Alor Gajah: Mangsa meningkat kepada 419 orang, lapan PPS dibuka

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 12 Ogos – Mangsa banjir di daerah Alor Gajah terus meningkat apabila seramai 419 mangsa banjir membabitkan 123 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 12.30 tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah Leftenan (PA) Mohd Ridhwan Latip berkata, kesemua mereka ditempatkan di lapan PPS yang dibuka secara berperingkat sejak petang semalam.

Jelasnya, PPS terbaharu adalah di Dewan Japerun Ayer Limau dan Sekolah Kebangsaan Jeram yang masing-masing dibuka pada jam 11 pagi dan 12 tengah hari tadi.

“Jumlah mangsa tertinggi adalah di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Ar-Rasyidin iaitu seramai 163 mangsa, diikuti 128 mangsa di Japerun Kuala Linggi.

“Selain itu, seramai 61 mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Paya Lebar, 37 di Dewan Japerun Ayer Limau, 15 di Sekolah Kebangsaan Sungai Jernih; 13 di Balai Raya Ayer Paabas serta dua di PERKIM Masjid Tanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sehingga kini masih terdapat 23 kawasan masih terjejas dengan banjir iaitu Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Bukit Apit, ⁠Kampung Ayer Limau, ⁠Kampung Sg Jernih, Kampung Lekok, ⁠Kampung Paya Rumput, Kampung Lubok China, ⁠Taman Masjid Tanah Ria, Taman Bandar Baru Masjid Tanah, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Berisu.

Ia turut membabitkan ⁠Taman Awan Biru, Taman Seri Bayu 2 dan 3, Taman Seri Aman, Kampung Belimbing Dalam, Kampung Solok Ayer Limau, Kampung Seri Jeram, Kampung Ladang, Kampung Keramat Lebai, Panchor, Kampung Lubok China dan Taman Rembia Jaya.

“Semua agensi dan jabatan terlibat sehingga kini masih membuat pemantauan berterusan di kawasan terlibat banjir,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

153
Kongsi :
Previous post Mayat tanpa kepala sah Cikgu Istiqomah, bekas guru ditahan
Next post 84,000 Jalur Gemilang diagih ke Japerun seluruh Melaka
Ubah saiz-+=