Mayat tanpa kepala sah Cikgu Istiqomah, bekas guru ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

ALOR GAJAH 12 Ogos – Mayat wanita tanpa kepala, kaki dan tangan yang ditemui tepi longkang Jalan Besar Alor Gajah-Tampin di Pulau Sebang 31 Disember lalu sah milik seorang guru wanita yang dilaporkan hilang di sebuah pasar di Johor Bahru, Johor lapan bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata kehilangan Istiqomah Ahmad Rozi, 33, terungkai selepas ujian deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat tanpa kepala yang ditemukan di Pulau Sebang 31 Disember tahun lalu adalah wanita berkenaan.

“Hasil ujian DNA dijalankan oleh Bahagian Data Band/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman terhadap ibu kepada guru wanita terbabit mendapati ianya sepadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata susulan itu, risikan dijalankan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 37 dan 36 tahun.

Jelasnya, penahanan dua individu berkenaan di Chemor, Perak kemudian membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa di kawasan berhampiran tempat mayat mangsa dijumpai.

“Polis menemui tulang jari dan kepala kira-kira lima kilometer (km) daripada mayat mangsa ditemukan.

“Pasangan suami isteri itu sebelum ini direman tujuh hari bermula 7 Ogos lalu dan berakhir hari ini namun isteri dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini.

“Suspek lelaki yang juga bekas guru dipercayai kenalan mangsa ketika dalam pengajian dan tempoh remannya disambung tujuh hari lagi bermula hari ini bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3012 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, Melaka Hari Ini melaporkan mayat wanita tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui orang awam dalam longkang di tepi Jalan Besar Alor Gajah-Tampin, Kampung Rimau.

Mayat yang ditemukan pada 31 Disember tahun lalu itu ditemui orang awam di dalam sebuah tong sampah yang dipercayai ditinggalkan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari di dalam longkang dengan keadaan hanya tinggal badan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1286
Kongsi :
Previous post Baja Madani MPOB F5 bantu petani desa
Next post Bah di daerah Alor Gajah: Mangsa meningkat kepada 419 orang, lapan PPS dibuka
Ubah saiz-+=