Sorting by

×

Agropelancongan nanas di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDA HILIR 11 Ogos – Kerajaan Negeri mengenal pasti beberapa bidang tanah yang berpontensi bagi dijadikan kawasan tumpuan agropelancongan, khususnya untuk tanaman nanas.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi mendapat sokongan.

Katanya, apabila adanya lokasi tumpuan itu kelak, pengunjung yang datang ke Melaka tidak akan pulang dengan tangan kosong sebaliknya berbekalkan ilmu yang boleh dipraktikkan.

“Di Melaka mungkin kita ada kekangan tanah untuk menanam nanas secara besar-besaran, tetapi sebagai ‘centre of attraction’ sudah tentu kita ingin meneroka agropelancongan melalui tanaman nanas.

“Kita sudah ada tanah yang dikenal pasti dan tanah-tanah ini semestinya bukan di kawasan bandar mungkin di Alor Gajah kerana kita tidak mahu apabila pelancong datang ke Melaka, mereka hanya tertumpu di bandar sahaja.

“Lokasi dikenal pasti ini memang tempat yang sesuai untuk tanaman nanas dan menjadi tempat tumpuan pelancongan agro tourism bagi tanaman nanas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Hari Nanas Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2024, di Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB), Nasrul Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, pihaknya juga amat menggalakkan golongan muda mengambil peluang dan ruang untuk meneroka industri nanas dengan lebih serius kerana boleh menjana pendapatan lumayan.

“Saya memang galakkan terutama anak muda untuk ceburi bidang tanaman nanas ini kerana hasil daripada kajian yang diperoleh, pengusaha nanas yang melakukan secara serius boleh mendapat pendapatan antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

“Kerajaan Negeri Melaka komited menyokong industri nanas ini dengan memberi insentif dan bantuan kepada petani selain menggalakkan penyelidikan serta inovasi,” katanya.

Jelasnya, di Melaka terdapat 14 belia yang terbabit dalam tanaman nanas dan mereka menerima geran Agropreneur Muda berjumlah RM280,000 pada 2023.

Terdahulu, pada program berkenaan, sebanyak 1,500 biji nanas berikan secara percuma di sekitar Bangunan Stadthuys dan perkarangan Menara Taming Sari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

244
Kongsi :
Previous post ‘Ratu Bendang tunggu abang pulang’
Next post Melaka ‘duta’ promosi nanas
Ubah saiz-+=