Wanita sahut cabaran ‘berkubang’ dalam bendang

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

SUNGAI RAMBAI 10 Ogos – Pengalaman bersukan di bendang mungkin amat jarang didengar tetapi itulah keunikan yang dibawa pada penganjuran Festival D’Bendang Melaka 2024.

Festival yang berlangsung di Kem Benteng Negara Parit Penghulu, di sini, menampilkan pelbagai acara sukan rakyat seperti galah panjang, memanah, baling selipar, di mana istimewanya kesemua acara itu berlangsung di dalam petak sawah padi.

Seorang peserta wanita dalam acara galah panjang, Mastura Nasyitah Badarudin, 30, berkata, penganjuran sukan rakyat di bendang itu adalah satu pengalaman amat berharga dan wajar diteruskan pada masa akan datang.

“Bagi saya bersama rakan-rakan, penganjuran sukan rakyat di bendang sawah, ini adalah satu peluang keemasan buat kami kerana acara ini adalah jarang-jarang diadakan.

“Ini kali pertama kami mencuba sukan galah panjang dalam bendang, walaupun meletihkan namun kami sangat seronok,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ujar Mastura, dia bersama tiga lagi rakannya merupakan pasukan wanita tunggal yang bertanding dalam acara galah panjang dalam bendang, dan mereka terpaksa bersaing dengan pasukan lelaki.

“Memandangkan kami satu-satunya pasukan wanita yang bersaing dalam acara galah panjang di bendang, memang agak sukar buat kami kerana terpaksa bersaing bersama pasukan lelaki, tetapi secara keseluruhan, kami amat berpuas hati.

“Kemenangan bukan objektif kami, tetapi kami ingin buktikan kepada generasi muda bahawa sukan rakyat sebegini perlu diangkat demi kesinambungan merakyatkan sukan tradisi,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

287
Kongsi :
Previous post Rasa bertuah sertai MATTA Fair Melaka 2024
Next post ‘Ratu Bendang tunggu abang pulang’
Ubah saiz-+=