D’Bendang Melaka platform usahawan desa menyerlah
SUNGAI RAMBAI 10 Ogos – Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@Festival D’Bendang Melaka 2024 merupakan platform terbaik buat usahawan desa dalam mengembangkan perniagaan ke pasaran yang lebih besar.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Festival D’Bendang Melaka 2024 di sini mendapati, lebih 250 usahawan yang terlibat mengambil peluang perkenalkan jualan produk mereka di festival berprestij ini.
Bagi usahawan cendawan tiram, Mohd Syukor Ahmad, 45, festival sebegini mampu melonjakkan jenama produk yang dibawa oleh usahawan desa selain membantu dari segi garis panduan berkaitan perniagaan dari agensi terbabit.
“Dari segi pengalaman saya sertai program sebegini di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), ianya amat membantu saya serta usahawan desa yang lain untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan kami.
“Mana tidaknya, peranan agensi seperti FAMA, MARDI dan PELADANG amat membantu kami dari awal hingga berjaya, jadi bagi saya festival ini mampu serlahkan perniagaan usahawan desa berdasarkan pengalaman saya sendiri,” katanya ketika ditemui MHI.
Anak jati Melaka yang berasal dari Gadek itu turut berkongsi melalui program di bawah KKDW, perusahaan cendawan tiram miliknya telah berkembang hingga kapasiti 12,0000 unit bongkah cendawan dan pasaran kian meluas di seluruh negeri selatan tanah air.
Sementara itu, usahawan seramik, Rozana Musa, 42, dia yakin penganjuran festival ini mampu mengubah persepsi usahawan desa dari cita-cita kecil kepada cita-cita besar.
“Sepanjang 14 tahun saya berkecimpung sebagai usahawan seramik, program sebegini yang mendapat sokongan KKDW, telah mengubah falsafah perniagaan saya dari sasaran kecil kepada sasaran besar.
“Apa yang penting, kita mesti berani mencuba dan festival ini adalah peluang terbaik untuk usahawan desa membina jenama mereka bagi tujuan perkukuh serta kembangkan strategi perniagaaan masing-masing,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.