Sorting by

×

‘YB’ Melaka meriahkan sukan rakyat Festival D’Bendang

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SUNGAI RAMBAI 10 Ogos – Dianggarkan lebih 2,800 peserta bakal mengambil bahagian dalam pelbagai acara sukan rakyat bersempena Festival D’Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, di sini, bermula hari ini hingga Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis berkata, pihaknya menganjurkan sebanyak 39 acara sukan rakyat berlangsung selama tiga hari.

Siti Faizah berkata, jumlah penyertaan bagi acara sukan rakyat menunjukkan peningkatkan setiap kali penganjuran Festival D’Bendang.

“Pada awalnya pendaftaran agak perlahan, namun selepas Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan barisan Exco membuat satu sketsa pendek, Festival D’Bendang mula mendapat perhatian dan tular di media sosial.

“Penyertaan semakin meningkat dan setakat ini saya dimaklumkan lebih 2,800 peserta sudah mendaftar. Jumlah ini belum termasuk peserta yang datang secara ‘walk in’,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak festival, semalam.

Terdahulu beliau mengiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar melawat sekitar lokasi penganjuran festival.

Menurut Siti Faizah, apa yang menarik selain penduduk kampung dan orang ramai, acara sukan rakyat itu bakal disertai Adun Negeri Melaka, khususnya dua ‘YB’ (Yang Berhormat) ‘viral’ iaitu Adun Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Adun Merlimau Dr. Muhamad Akmal Saleh.

“YB viral kita ini akan mengambil bahagian dalam acara tarik tali dan menangkap itik, bukan sahaja mereka berdua ramai lagi Adun lain akan turut serta dalam sukan rakyat.

“Sudah pasti, kali ini, Festival D’Bendang berlangsung lebih meriah dengan pelbagai tarikan yang kita sediakan untuk pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

206
Kongsi :
Previous post Motosikal menanti pengunjung bertuah MATTA Fair Melaka
Next post Melaka Halal Hub tawar pelbagai kelebihan kepada usahawan
Ubah saiz-+=