100 syarikat Jerman berkampung di Melaka Oktober depan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Kira-kira 100 syarikat pengeluar produk dan pemain industri dari Jerman akan berkampung di negeri ini selama seminggu pada Oktober depan bersempena penganjuran ‘Melaka German Week’.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata, Melaka German Week bakal membuka jalan kepada lebih banyak peluang pelaburan dari negara berkenaan ke negeri ini pada masa akan datang.

Mohd Yusof berkata, penganjuran Melaka German Week dianggap sebagai batu loncatan buat Negeri Melaka yang komited untuk membangunkan taman industri German Technology Park (GTP).

“Setakat ini sebanyak 11 jenama dari pelbagai syarikat daripada negara itu telah beroperasi dan membuka kilang mereka di Melaka.

“MCORP komited untuk meneruskan hasrat ini supaya GTP bakal beroperasi nanti menjadi tumpuan dan pusat operasi bagi pelbagai syarikat dalam aktiviti rantaian bekalan (supply chain), vendor serta pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan MCORP Bagi Bulan Julai 2024 di Lobi Menara MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Melaka Halal Hub, Azmi A Rahman serta tetamu lain.

Menurutnya, antara pengisian utama Melaka German Week adalah penganjuran DEUTSCHER Brand Summit yang membabitkan aktiviti pameran produk dan peluang pelaburan.

Beliau berkata, selain itu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kerajaan Negeri turut menganjurkan program Invest Series yang berjalan serentak dengan Melaka German Week.

“Alhamdulillah, hasil pertemuan MCORP, MIDA dan Malaysian-German Chamber of Commerce and Industry (MGCC) baru-baru kita mendapat sokongan penuh. Kita akan membantu mempromosikan syarikat jerman beroperasi di Malaysia mahupun luar negara.

“Menjadi harapan saya, penganjuran program yang diatur ini akan membuka lebih banyak peluang antara pemain industri terlibat menerusi perkongsian dan padanan perniagaan, sekali gus meningkatkan lagi nilai pelaburan ke Malaysia khusus Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6415
Kongsi :
Previous post 10 SRA JAIM terima komputer baharu
Next post JPN Melaka selesai isu MyKid secara berperingkat
Ubah saiz-+=