Misi perkasa belia Islam Asia Tenggara

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Program Perkaderan Syabab MABIMS Tahun 2024 menjadi antara wadah dalam usaha memperkasa golongan belia Islam di Malaysia dan negara serantau.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr. Ruslan Said berkata, MABIMS adalah singkatan kepada Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

Jelasnya, MABIMS telah ditubuhkan sejak tahun 1989 dengan tujuan untuk mempereratkan ikatan persaudaraan Islam di Asia Tenggara.

“Menerusi wadah ini, kita dapat bermuzakarah, bertukar-tukar maklumat, berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam usaha mempertingkatkan serta memantapkan akidah dan syariat Islam.

“Sejak penubuhan, MABIMS telah merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik dan salah satunya adalah Rancangan Strategik Potensi Belia MABIMS 2021 hingga 2025.

“Rancangan ini telah diselaraskan oleh Brunei bertujuan untuk melahirkan generasi belia Islam yang berpotensi tinggi, berpengetahuan dan berpendidikan dalam agama,” katanya.

Beliau Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Perkaderan Syabab MABIMS Tahun 2024 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Hotel MITC, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim serta kenamaan lain.

Program yang akan berlangsung selama sembilan hari pada 6 hingga 14 Ogos itu telah disertai 40 peserta dari empat negara anggota MABIMS.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

76
Kongsi :
Previous post Perkaderan Syabab MABIMS 2024 fokus 4 objektif utama
Next post IITTE 2024 capai sasaran 50,000 pengunjung
Ubah saiz-+=