10 SRA JAIM terima komputer baharu

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER MOLEK 8 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Tabung Amal Jariah Negeri Melaka menyalurkan dana berjumlah RM30,000 bagi sumbangan pembelian komputer untuk kegunaan Sekolah Rendah Agama (SRA).

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, dana itu adalah hasil kutipan daripada Tabung Amal Jariah Negeri Melaka yang disumbangkan oleh kakitangan MAIM menerusi potongan gaji.

“Daripada jumlah kutipan yang diperoleh itu sebanyak RM30,000 diperuntukkan untuk pembelian komputer bagi diserahkan kepada SRA Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang memerlukan.

“Pada tahun ini sebanyak 10 SRA JAIM di Melaka ini dikenal pasti untuk menerima komputer ini termasuklah SRA JAIM Pengkalan Minyak, SRA JAIM Pulai, SRA JAIM Ayer Pasir Machap dan SRA JAIM Al Ikhwan Kampung Orang Asli Bukit Payung,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan komputer di SRA JAIM Pengkalan Minyak, semalam.

Hadir sama pada majlis itu Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis dan Guru Besar SRA JAIM Pengkalan Minyak, Muhammad Qadri Ramli.

Menurutnya, selain serahan komputer ke SRA JAIM, pihaknya turut menyumbang 47 buah komputer ke sekolah agama terpilih sekitar Melaka dan melakukan kerja penambahbaikkan infrastruktur di tadika Islam.

“Bagi sumbangan komputer ini kita belanja sebanyak RM155,000 manakala bagi kerja pembinaan infrastruktur di tiga buah tadika pula sejumlah RM60,000 diperuntukkan.

“Malah kita turut menyumbang beberapa lagi keperluan lain dan kesemua wang dibelanjakan ini adalah menggunakan hasil kutipan Tabung Amal Jariah Negeri Melaka,” katanya.

Jelasnya, Tabung Amal Jariah Negeri Melaka ini adalah antara perkhidmatan yang disediakan oleh MAIM kepada masyarakat yang berhasrat untuk bersedekah atau berinfaq.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

453
Kongsi :
Previous post Empat pelajar PMM terima bantuan Dermasiswa B40 TVET
Next post 100 syarikat Jerman berkampung di Melaka Oktober depan
Ubah saiz-+=