Kanak-kanak pandu kereta mengaku tidak bersalah
SEPANG 7 Ogos – Seorang kanak-kanak lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta jenis Perodua Viva, bulan lepas.
Kanak-kanak berusia 12 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor pada 7.30 malam, 28 Julai lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan 1987 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding yang dilakukan secara tertutup itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi menawarkan jaminan RM1,000, dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Nabilla Rosli yang mewakili kanak-kanak itu memohon jaminan rendah atas alasan jaminan itu perlu ditanggung oleh bapanya yang turut didakwa.
Sementara itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan turut didakwa atas pertuduhan membenarkan anaknya memandu kereta yang sama di atas jalan.
Dia didakwa di bawah Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, lelaki warga Pakistan berusia 53 tahun itu yang juga pemegang kad pemastautin tetap (MyPR), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori.
Muhammad Bukhori menetapkan jaminan RM500 bagi kanak-kanak terbabit dan RM2,000 bagi bapanya masing-masing dengan seorang penjamin warga tempatan.
Mahkamah menetapkan 4 Sept ini sebagai tarikh sebutan kes.
Sebelum ini tular video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.
Menerusi rakaman itu, kelihatan kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarahkan oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.