IITTE 2024 capai sasaran 50,000 pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE) 2024 dianggap mencapai objektif untuk menyubur dan memberikan pendedahan mengenai keindahan Islam kepada orang ramai apabila dikunjungi 50,000 pengunjung sepanjang penganjurannya.

Pengerusi Eksekutif GISB Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali berkata penganjuran ekspo itu adalah hasratnya untuk mempamerkan kehebatan Islam kepada seluruh umat termasuk golongan bukan muslim.

“Alhamdulillah kami tidak sangka sambutan sepanjang ekspo memperkenalkan sejarah kehidupan Rasulullah SAW dan Islam ini menjadi tarikan orang ramai untuk singgah selain pelbagai produk dipamerkan di gerai mengambil bahagian.

“Selepas menghadiri ekspo di Istanbul, Turkiye, saya bercita-cita untuk menganjurkan ekspo seumpamanya di Malaysia, alhamdulillah Kerajaan Negeri Melaka memberi laluan kepada saya.

“Jadi ini antara kaedah yang boleh kita ketengahkan kepada negara lain dengan menceritakan Islam itu sangat indah,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penutup IITTE 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, baru-baru ini.

Katanya, penganjuran IITTE secara tidak langsung memberi kefahaman mengenai Islam kepada masyarakat supaya terus memperkukuhkan dakwah Islam.

“Perpaduan dan kasih sayang sangat penting dalam kehidupan kita kerana Islam itu adalah cara hidup,” katanya.

IITTE 2024 diadakan selama empat hari bermula 1 Ogos dengan pengisian program seperti Persidangan IITTE 2024, ekspo pameran dan jualan, ekspo jualan makanan, Pameran Sejarah Kehidupan Rasulullah Untuk Penghayatan Kehidupan Kini serta persembahan kebudayaan Islam.

Melaka dipilih sebagai negeri pertama dalam penganjuran julung kali dianjurkan GISBH yang kini mempunyai 20 cawangan seluruh dunia selain 25 rangkaian anak syarikat dan syarikat bersekutu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

126
Kongsi :
Previous post Misi perkasa belia Islam Asia Tenggara
Next post SUKMA XXI: Melaka bertanding 34 acara sukan
Ubah saiz-+=