Atlet angkat berat berazam sumbang pingat

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

JASIN 7 Ogos – Kesemua tujuh atlet angkat berat yang akan beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, Sarawak 2024, kini berada pada fasa akhir latihan.

Pengurus pasukan angkat berat kontinjen Melaka, Imran Lamin berkata, persiapan bukan sahaja membabitkan atlet tetapi daripada segi teknikal.

“Mengikut Sains Sukan kita boleh kata persediaan atlet sudah mencapai 90 peratus, malah daripada segi latihan kita sudah berikan secukupnya.

“Sekarang ini tumpuan kita untuk melihat teknik yang dipraktikkan oleh atlet termasuklah teknik angkatan kerana pada ketika ini latihan sudah boleh diperlahankan,” katanya.

Imran yang juga Presiden Kelab Angkat Berat Nyalas ditemui selepas mengiringi bapa angkat kontinjen itu iaitu Datuk Fairul Nizam Roslan menyantuni atlet di Pusat Latihan Angkat Berat di Kesang Tua, semalam.

Menurutnya, pada temasya kali ini atlet hanya akan bertanding bagi kategori 55 kilogram (kg) sehingga 87 kg.

“Jika sebelum ini emas disumbang oleh Nurul Syasya Khairina Syamsur dalam kategori 49 kg tetapi untuk SUKMA kali ini kategori itu telah dinaikkan kepada 59kg.

“Meskipun kategori dinaikkan kita percaya ia tidak menjadi halangan kepada atlet untuk membawa pulang pingat termasuklah pingat emas,” katanya.

Jelasnya, pihaknya juga lega apabila kesemua tujuh atlet yang disenarai pendek untuk dibawa beraksi di Betong, Sarawak, bebas daripada kecederaan dan berada dalam keadaan baik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

113
Kongsi :
Previous post Jalur Gemilang gergasi gah berkibar di Graha Makmur
Next post Lelaki keldai akaun ditahan. mangsa kerugian hampir RM80,000
Ubah saiz-+=