Pemuzik jalanan ajar anak ajaran sesat dihukum tiga bulan penjara
SEREMBAN 6 Ogos – Seorang pemuzik jalanan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengajar ajaran sesat Millah Abraham di sebuah rumah di Gemas, tahun lepas.
Hakim Zulfikri Yasoa membuat keputusan itu selepas Norasid Md Said, 50, mengaku mengajar ajaran berlawanan hukum syarak kepada anak lelakinya berusia 16 tahun dengan menyatakan bahawa akan ada “nabi selepas Nabi Muhammad iaitu nabi Messias”.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Felda Palong 3 antara pukul 8 malam hingga 11.59 malam dari 1 Jun hingga 30 Jun 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Abdul Wafi Ramli, Mohd Hafiz Mohd Lazim dan Nor Bazilah Abdul Basir manakala Norasid tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Abdul Wafi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira perbuatan itu menjejaskan kesucian agama Islam.
“Hukuman berat perlu diberikan, modus operandi dilakukan dengan penyebaran ajaran sesat kepada ahli keluarga. Tertuduh juga mengaku bersalah mengajar ajaran salah kepada isterinya di mahkamah ini pada 11 Julai lepas,” katanya.
Abdul Wafi berkata Millah Abraham merupakan isu nasional yang perlu dibanteras kerana penyebaran ajaran sesat itu turut dikesan di Johor baru-baru ini.
Norasid yang mempunyai tiga anak, memohon hukuman penjara bermula pada tarikh ditangkap serta tidak mengenakan denda tinggi kerana tiada pendapatan tetap.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berturutan daripada tarikh hukuman penjara yang lepas.
Tertuduh kini menjalani hukuman sebulan penjara dan turut didenda RM2,000 oleh mahkamah sama atas pertuduhan mengajar ajaran Millah Abraham kepada isterinya, tahun lepas.
Dalam pada itu, Norasid mengaku tidak bersalah mengajar ajaran sesat kepada seorang wanita berkaitan ayat al-Quran berlawanan dengan hukum syarak mengenai ayat surah Al-Fatihah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Harmoni pada 5 petang 24 April 2023 mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019.
Sebutan semula kes pada 14 Okt ini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.