Cungkil bakat seni orang Melaka
AYER KEROH 6 Ogos – Pusat Bimbingan Hujung Minggu (PBHM) yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka menjadi medan untuk mencungkil bakat seni dan budaya rakyat Melaka.
Pengarahnya, Ezlina Alias berkata, kelas latihan kesenian yang diadakan pada setiap hujung minggu itu telah diperbaharui sejak hujung tahun lalu dan sehingga kini mendapat sambutan hebat daripada pelbagai lapisan umur di negeri ini.
Jelasnya, kelas tersebut antara lain memberi tunjuk ajar kepada peserta terutama dalam bidang nyanyian vokal, tarian, lakonan dan sebagainya.
“Sebelum ini kelas ini dilaksanakan secara dalam talian dan bersemuka dan kita memperbaharuinya supaya peserta terlibat dapat mencungkil bakat mereka menerusi penganjurannya pada setiap hujung minggu.
“Pelbagai skop kesenian difokuskan pada PBHM antaranya kelas teater, seni tari, silat, gasing, nyanyian dan sebagainya diadakan di Kompleks JKKN ini.
“Alhamdulillah setakat ini ia masih menerima sambutan dan kita menyasarkan kira-kira 100 peserta untuk menyertainya dengan pembahagian lebih kurang 20 peserta untuk setiap kelas,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tambah beliau, PBHM diadakan itu tidak memerlukan ramai peserta bagi memudahkan jurulatih untuk berinteraksi dan menumpukan bakat terpendam peserta dengan lebih mendalam.
“Mana-mana pihak yang berminat mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut pada pengumuman berkaitan PBHM yang disiarkan di mana mana laman media sosial JKKN Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.