MPJ kompaun kafe, pusat hiburan sekitar Jasin
JASIN 6 Ogos – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengeluarkan empat notis kompaun kepada pengusaha kafe dan karaoke menerusi Operasi Bersepadu Pusat Hiburan Daerah Jasin, baru-baru ini.
Yang Dipertua MPJ, Mohd Shaiful Hizam Johan berkata operasi itu dijalankan di beberapa lokasi membabitkan premis makanan dan pusat hiburan sekitar Jasin.
Selain MPJ, ujarnya, operasi itu turut disertai Pejabat Kesihatan Daerah Jasin (PKDJ), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Jasin dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hasil operasi yang dijalankan mendapati terdapat beberapa premis kafe dan pusat karaoke sekitar Jasin yang mendapat kompaun daripada pihak MPJ berikutan tiada lesen iklan dan pelbagai lagi kesalahan.
“Sebanyak empat notis turut dikeluaskan PKDJ di bawah peraturan kawalan hasil tembakau kerana didapati merokok di premis tidak dibenarkan merokok.
“Manakala pihak AADK dan PDRM tidak mengeluarkan sebarang kompaun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mohd Shaiful Hizam berkata, MPJ turut menasihati mana-mana pengusaha premis makanan dan pusat hiburan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya harap premis berkaitan mematuhi undang-undang yang ditetapkan PBT bagi mengelakkan tindakan dikenakan kepada pengusaha premis terbabit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.