Promosi Bible: Lapor segera jika berlaku lagi
AYER KEROH 5 Ogos – Pihak berkuasa masih mengesan individu bertanggungjawab terhadap kegiatan mempromosi agama Kristian di hadapan Surau Warisan Banda Hilir, baru-baru ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada pihak polis atau Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Ujar beliau, orang ramai juga diharap dapat bekerjasama melaporkan segera jika kejadian sama berulang lagi.
“Setakat ini tiada perkembangan dan kejadian tidak diingini, semua berjalan dengan teratur dan aman, malah difahamkan individu tersebut bukan datang daripada gereja berhampiran, dia secara individu.
“Sebenarnya kita bersama pihak polis masih mencari dan kerana kita tidak tahu siapa melakukannya, ia berlaku begitu pantas dan tidak lama.
“Sekiranya orang ramai melihat kejadian seperti itu lagi beritahu kita segera sama ada pihak polis atau JAIM untuk kita buat tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup IITTE 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Rahmad berkata Kerajaan Negeri bersama penguatkuasa JAIM akan sentiasa mengadakan pemantauan bagi membanteras kegiatan itu.
“Penguatkuasa kita sentiasa ada di mana-mana ada, ini adalah kes pertama dikesan dan diharap tiada lagi kegiatan seperti ini selepas ini,” katanya.
Sebelum ini tular satu rakaman video berdurasi 16 saat di aplikasi TikTok memaparkan dua wanita menyebarkan risalah Bible di kawasan pelancongan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.