Mualaf warga emas antara graduan SALAM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 29 Julai – Meskipun usianya sudah mencecah 64 tahun, namun keinginan untuk terus menimba ilmu pengetahuan tentang Islam tidak pernah luntur.

Malah dengan peluang yang disediakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Balai Islam, memperkenalkan kursus Sijil Asas Pengajian Islam Mualaf (SALAM) digunakan sepenuhnya oleh warga emas yang juga mualaf Mohd Herman Boon Tom Abdullah untuk terus mendalami ilmu agama serta kefahaman tentang Islam.

Katanya, meskipun sudah memeluk Islam sejak 1983, namun dia dari semasa ke semasa mempelajari dan menambah pengetahuan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi dalam membantu saudara baharu yang lain.

“Ilmu ini kita kena pupuk, amalkan serta ditingkatkan agar iman di dada kekal teguh tidak kira apa juga cabaran atau di mana kita berada.

“Jadi untuk memastikan kita berdiri sebaris dengan orang yang asalnya Islam, kita perlu tingkatkan jati diri dengan menyertai majlis ilmu, untuk itu bagi saya walaupun di usia begini ia bukan penghalang,” katanya.

Whatsapp Image 2024 07 29 At 4.54.11 Pm

MOHD Herman.

Mohd Herman Boon Tom berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Sijil SALAM 2023 yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, hari ini.

Bapa kepada tiga anak itu amat berharap agar lebih ramai mualaf tampil mengikuti SALAM, kerana sepanjang enam bulan tempoh pengajian ia diisi dengan modul yang amat baik serta menyeluruh.

“Saya sarankan kepada mualaf lain hadirlah ke Balai Islam untuk menuntut ilmu kerana dalam Islam sendiri ilmu amat penting. Daripada ilmu itu barulah kita boleh amalkan sebelum disusuli hal yang lain.

“Paksalah diri untuk belajar dan mencari pengetahuan kerana perkara ini kadang-kadang memerlukan kekuatan diri, jujur katakan dulu saya turut rasa malas tetapi ia hanya sementara.

“Peranan MAIM menerusi Balai Islam sendiri banyak membantu mualaf bukan sahaja dari segi bantuan untuk kelangsungan hidup tetapi juga menyediakan kelas fardhu ain termasuk bidang pendidikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

185
Kongsi :
Previous post SALAM lahirkan mualaf celik asas Islam
Next post Dua anggota polis ditahan disyaki lakukan pemerasan
Ubah saiz-+=