SALAM lahirkan mualaf celik asas Islam

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TANJUNG BIDARA 29 Julai – Seramai 14 orang mualaf yang berjaya menamatkan kursus Sijil Asas Pengajian Islam Mualaf (SALAM) diraikan pada Majlis Konvokesyen SALAM 2023 yang julung kali diadakan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua peserta kursus dianugerahkan Sijil Graduan SALAM selepas berjaya menamatkan pengajian tahap empat yang diikuti selama enam bulan.

Katanya, SALAM adalah inisiatif dilaksanakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan kerjasama Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dalam memberi pendedahan secara menyeluruh tentang asas agama Islam.

“Ini adalah inisiatif diusahakan MAIM dan UNIMEL untuk melatih saudara baru atau mualaf. Mereka akan dilatih atau mengikuti kursus selama enam bulan secara percuma.

“Menerusi kursus dianjurkan ini, mereka dapat mendalami agama Islam dengan lebih lagi dan Insya-Allah selepas ini mereka pula akan menjadi pembimbing termasuk aktif dalam aktiviti dakwah untuk menarik orang lain memeluk agama Islam,” katanya.

Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen SALAM 2023, di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UNIMEL, Profs. Datuk Dr. Mohd Taib Dora; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan Penolong Setiausaha Balai Islam, Mohd Nasir Wahab.

Menurut Rahmad, seperti golongan yang lain, mualaf juga antara pihak yang memerlukan bimbingan terutamanya daripada sudut pendidikan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim sejati.

“Ini kerana sebagai seorang yang baru memeluk agama Islam semestinya mereka perlu mengetahui sejumlah perkara asas dalam Islam untuk melaksanakan perintah dan suruhan Allah SWT.

“Pelaksanaan dakwah mualaf perlu dimainkan oleh semua pihak bukan hanya terletak di bawah agensi atau individu tertentu sahaja, ia menjadi tanggungjawab bersama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

174
Kongsi :
Previous post Agensi, jabatan rangka pelan atasi banjir kilat
Next post Mualaf warga emas antara graduan SALAM
Ubah saiz-+=