Sorting by

×

‘Program advokasi lindungi kanak-kanak’

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 29 Julai – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak 30 sekolah di Melaka melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-kanak Tahun 2024 sebagai inisiatif menjaga keselamatan diri golongan itu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata daripada jumlah itu sebanyak 15 sekolah telah melaksanakan program itu yang membabitkan lebih 7,000 pelajar.

“Objektif program ini untuk mengerakkan semua anggota masyarakat khususnya dalam memastikan keselamatan dan kebajikan anak-anak sentiasa terpelihara.

“Bukan sahaja menjaga keselamatan diri, malah suara dan luahan mereka perlu didengari kerana kebelakangan ini kita kerap dikejutkan dengan berita-berita yang menakutkan.

“Dengan adanya program begini ia memberi satu pendedahan baik kepada anak pelajar itu sendiri untuk segera menghubungi talian 15999 jika berlaku sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-kanak Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhamad; Pengetua SMK Tun Mutahir, Abdul Ghaffar Bakar dan lain-lain wakil serta agensi Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Kalsom meminta supaya pihak sekolah terus memainkan peranan memberi pendedahan kepada pelajarnya untuk berani bersuara jika berlaku perkara tidak diingini.

“Saya lihat program ini memberi impak positif yang mana pelajar mula mengetahui hak mereka sebagai kanak-kanak selain tahu bagaimana untuk menghindari diri daripada gejala yang tidak sihat.

“Saya percaya usaha ini dapat membangunkan potensi diri mereka sebagai pelapis pemimpin masa depan negara,” katanya.

Program itu turut mendapat kerjasama JKM Melaka, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan lain-lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

416
Kongsi :
Previous post YB Zahari dekati anak muda, semai budaya permotoran positif
Next post MPJ laksana kempen tandas bersih
Ubah saiz-+=