Mini Karnival Usahawan Desa meriahkan Festival D’Bendang

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SUNGAI RAMBAI 28 Julai – Penganjuran Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) akan memeriahkan lagi Festival D’Bendang Melaka 2024 apabila disertai lebih 150 usahawan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata, Mini KUD @ Festival D’Bendang Melaka 2024 selama tiga hari yang bermula pada 9 Ogos depan itu turut membabitkan usahawan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Walaupun ini hanya Mini KUD tetapi ia meriah apabila mendapat sambutan menggalakkan apabila dimaklumkan sudah ada lebih 150 usahawan bukan sahaja dari Melaka tetapi dari luar yang ingin bersama-sama sertai program jualan.

“Malah, usahawan di bawah KKDW seperti dari Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan turut serta pada karnival ini.

“Sudah pastinya pelbagai produk bukan sahaja makanan, tetapi juga kraftangan dan produk daripada industri kecil dan sederhana (IKS) akan terdapat di Mini KUD ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan tapak bersama agensi yang terbabit di Kampung Parit Penghulu Benteng, di sini.

Menurut Siti Faizah, pengunjung akan mendapat akses kepada produk usahawan desa berkualiti kerana terdapat pelbagai produk yang akan diketengahkan.

“Saya percaya pengisian pada penganjuran ini bersifat menyeluruh dan relevan selain dapat membantu usahawan desa meningkatkan pendapatan.

“Malah besar harapan saya sekiranya program ini berjaya, kita mahu jadikan KKDW sebagai kementerian yang dapat menyokong penuh penganjuran Festival D’Bendang ini sebagai acara tahunan menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BBP),” katanya.

Menurut Siti Faizah, perasmian Mini KUD @ Festival D’Bendang Melaka itu dijangka akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

340
Kongsi :
Previous post KEMAS saring enam guru untuk Tabika Autisme Melaka
Next post Bersih persekitaran rumah atau kena tindakan – MBMB
Ubah saiz-+=