62 atlet SSN Melaka buru pingat di Thailand
AYER KEROH 26 Julai – Seramai 62 atlet dari Sekolah Sukan Negeri (SSN) Melaka menyertai Thailand Sports School Games (TSSG) 2024 di Trang, Thailand yang berlangsung dari 20 hingga 29 Julai.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia membabitkan 28 atlet dalam acara olahraga, 16 bola baling dan 18 bagi sukan bola sepak serta diiringi 11 guru.
Katanya, sepanjang 10 hari kejohanan, kontinjen Melaka menyasarkan untuk meraih tiga pingat emas, lima perak dan tujuh gangsa.
“SSN Melaka melalui Unit Sukan bersama barisan kejurulatihan menyertai kejohanan TSSG 2024 ini sebagai persiapan kepada atlet yang berpotensi dalam sukan ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
“Kejohanan ini bukan sahaja dapat memberi pendedahan kepada atlet di rantau Asia Tenggara, bahkan diyakini dapat membina jati diri mereka untuk terus maju dan menampilkan prestasi sukan terbaik,” katanya yang turut hadir memberi sokongan dan menyampaikan sumbangan kepada atlet Melaka.
Menurut Rahmad, selain SSN Melaka, Malaysia turut menghantar kontinjen daripada lima buah Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan enam lagi SSN iaitu Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Pahang.
Selain itu, katanya, tuan rumah Thailand pula menghantar kontinjen membabitkan kesemua daerah, sementara Indonesia menghantar atlet dari dua buah sekolah di Jakarta dan Kalimantan Timur, manakala Singapura dengan satu buah sekolah.
“Setakat hari ketiga kejohanan, kontinjen SSN Melaka telah meraih satu perak dan satu gangsa menerusi acara lontar peluru lelaki bawah 17 tahun dan 110 meter lompat page lelaki bawah 17 tahun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.