BlazeTech STEM platform serlah potensi pelajar dalam teknologi
KUALA LINGGI 26 Julai – Penganjuran Karnival BlazeTech STEM Peringkat Negeri Melaka 2024, (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) menjadi medan pembangunan terhadap potensi pelajar dalam ilmu teknologi.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah berkata, BlazeTech STEM dijadualkan berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, dari jam 8 pagi hingga 3 petang, 10 Ogos nanti.
Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi berkata, program sehari berteraskan kepada pembelajaran
bersepadu dalam bidang STEM itu dijangka akan menarik sehingga 3,000 orang peserta dan pengunjung.
“Program ini merangkumi pelbagai aktiviti dirancang untuk memartabat dan memperkukuhkan bidang STEM dalam kalangan generasi akan datang. Mereka adalah pelapis utama negara perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan mencukupi dan berkemahiran tinggi untuk memacu pembangunan negara dalam mengarungi dunia Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
“Penganjuran BlazeTech STEM berteraskan kepada pembelajaran bersepadu bidang STEM yang mempu meningkatkan daya saing pelajar dalam bidang sains serta teknologi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, pendidikan STEM merupakan satu bidang yang menekankan konsep berpandukan komponen ‘4K’ iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal.
Jelas beliau ia terkandung dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang menjadi keutamaan pihak sekolah.
“STEM sebagai bidang ilmu berpaksikan teknologi, sudah tentu program ini dapat membudayakan nilai, melihat aplikasi, sekali gus menanam sikap ingin tahu dalam diri murid sejajar dengan pembangunan era moden ini. Perkembangan teknologi sentiasa berlaku dalam aspek kehidupan,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran karnival itu nanti akan membabitkan pameran, pertandingan dan aktiviti berbentuk robotik, permainan minda serta dron.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.