‘Saya rasa bersalah terhadap isteri, anak-anak’

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PANTAI KUNDOR 23 Julai – “Saya rasa bersalah, sampai sekarang hanya ungkapan maaf meniti di bibir saya kepada isteri dan anak-anak.

“Apabila sedar di hospital, saya terus mencari mereka kerana saya rasa bersalah yang teramat sangat”.

Itu luahan Muhammad Faizul Hisham, 27, yang mengalami kecederaan parah selepas kereta dipandu terbabit kemalangan di Malim dalam kejadian 6 Julai lalu.

Menurut operator sebuah kilang semikonduktor di Batu Berendam itu, ketika kejadian, dia dan isteri Raudhah Syuhada Rasidi, 27, baru selesai bekerja ‘shift’ malam dan mengambil dua anak mereka di rumah pengasuh di Tanjung Minyak.

Namun, ujarnya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu Berendam, kereta Perodua Myvi dinaiki mereka empat beranak terbabit nahas, sekali gus meninggalkan kesan yang mendalam untuk mereka sekeluarga.

“Saya memang tak ingat apa yang berlaku, kerana apabila sedar saya sudah berada di hospital. Akibat kemalangan saya mengalami patah di tangan dan bahu, selain pembuluh darah pecah dan terpaksa menjalani pembedahan.

“Paling serius adalah isteri saya yang mengalami pendarahan di kepala dan memerlukan alat sokongan, manakala dua anak saya berusia 2 tahun dan 1 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Walaupun masih trauma dengan apa yang berlaku, namun saya bersyukur Allah SWT masih panjangkan umur kami dan kini kami perlu fokus untuk pulih seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman ibunya di Kampung Pengkalan Perigi, di sini, hari ini.

Whatsapp Image 2024 07 23 At 3.45.19 Pm
MUHAMMAD Faizul memeluk anak sulungnya yang turut terlibat dalam kemalangan itu.

Terdahulu, Muhammad Faizul menerima ziarah daripada Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin bersama kepimpinan UMNO Bahagian Tangga Batu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta pemimpin setempat.

Dalam sesi ziarah itu, Rais dan Tuminah telah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Muhammad Faizul bagi meringankan beban ditanggungnya sekeluarga.

Menurut Rais, mewakili Kerajaan Negeri, pihaknya komited untuk membantu keluarga berkenaan, terutama daripada sudut rawatan dan pemulihan yang memerlukan kos yang besar.

“Untuk peringkat awal, kita telah melancarkan tabung derma yang digerakkan Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu dan insya-Allah selepas ini kita akan meneliti saluran bersesuaian untuk membantu keluarga yang ditimpa musibah kemalangan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

44900
Kongsi :
Previous post Hadiah buat ibu, ayah
Next post Syarikat penerbangan tambang rendah Singapura bakal bertapak di Melaka
Ubah saiz-+=