Produk minyak cili bantu asnaf jadi usahawan berjaya
AYER KEROH 23 Julai – Diarahkan supaya mengosongkan tapak gerai ketika menjaja di tepi jalan antara pengalaman pahit tidak boleh dilupakan yang ditempuh pasangan ini ketika mencari rezeki untuk menyekolahkan enam anak mereka.
Pengalaman dianggap sebagai satu tamparan dalam hidup itu bagaimanapun menyuntik semangat pasangan ini untuk terus maju dan bergelar usahawan asnaf, sekali gus melangkah keluar daripada kepompong kemiskinan.
Berkat, usaha gigih dan tidak cepat mengalah Amira Nadia Naim, 37, dan suami Doni Donalo, 45, kini boleh berbangga dengan jenama minyak cili ‘Mommys’ Kitchen yang diasaskannya.
“Saya anggap pengalaman pahit itu sebagai cabaran pencetus untuk bangkit, bersama suami saya memerah otak, mencari ikhtiar untuk melariskan produk jualan menggunakan cara lain kerana sudah beberapa kali diminta beredar ketika berniaga berhampiran sebuah sekolah.
“Kami membuat kajian dan melihat video cara pembuatan minyak cili di internet, selepas tujuh kali mencuba barulah kami berjaya mendapatkan formula terbaik bagi menghasilkan produk yang kini dipasarkan di kedai runcit sekitar kediaman kami di Bukit Beruang.
“Memang berasa gembira tidak terkata apabila melihat produk kami diletakkan di rak di kedai runcit. Sebagai suri rumah, saya perlu cari jalan bagi menambah pendapatan untuk tampung perbelanjaan harian dan kos persekolahan anak-anak. Pendapatan suami yang bekerja sebagai buruh dan mengambil upah memotong rumput tidak cukup untuk tampung keperluan kami sekeluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Amira berkata, sejak tiga bulan lalu, produk minyak cili yang dihasilkan mula mendapat sambutan pelanggan hasil pemasaran menggunakan kaedah secara dalam talian dan penyertaan mereka dalam program keusahawanan dianjurkan pelbagai pihak.
Jelasnya, dalam tempoh kira-kira 90 hari sebanyak 1,000 botol minyak cili ditawarkan dengan empat perisa iaitu minyak cili, minyak cili extreme pedas, minyak cili udang geragau dan minyak bawang putih sudah terjual.
Menurutnya, jumlah jualan yang amat memberangsangkan itu membakar semangatnya untuk mengatur strategik bagi mengembangkan lagi pasaran produk diusahakan.
“Sebelum ini saya tidak tahu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyediakan pelbagai bantuan untuk golongan asnaf seperti kami aktif dalam bidang keusahawanan. Apa yang kami tahu MAIM cuma beri bantuan kepada orang susah. Kami juga adalah antara penerima bantuan bulanan dan persekolahan MAIM sejak dua tahun lalu.
“Pendedahan menerusi pelbagai penganjuran program keusahawanan kendalian MAIM dan sokongan rakan usahawan asnaf membantu kami untuk berada pada tahap sekarang ini, saya dan suami mahu ubah nasib keluarga.
“Sampai bila kami mahu hidup bergantung kepada bantuan, jadi harapan saya selepas ini dengan produk yang dihasilkan akan membawa manfaat dan dapat membantu asnaf-asnaf yang lain untuk berjaya seperti orang lain,” katanya.
Wanita ini berharap agar produk diusahakan mendapat sokongan dan sambutan yang berterusan daripada orang ramai, selain sedia menerima sebarang teguran atau bimbingan daripada mana-mana pihak untuk tujuan penambahbaikan.
“Jika ada pihak sudi tawarkan bantuan kewangan atau geran perniagaan kami amat mengalu-alukan, setakat ini semua proses menyiapkan produk ini dilakukan di rumah. Peralatan ala kadar dapur pun kecil,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.