Sorting by

×

Penggerak MAIM lafaz IBR

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 22 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) untuk menggalakkan tadbir urus lebih baik serta budaya integriti dalam kalangan penggerak agensi agama itu.

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, pada sesi itu empat kumpulan dengan membabitkan seramai 147 orang terbabit melafazkan akujanji mereka dalam menolak rasuah.

Katanya, mereka yang terbabit terdiri daripada 53 orang sukarelawan Badan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT), 15 orang Skuad Sukarelawan Balai Islam (SSBI) dan 78 orang pembekal bantuan makanan serta seorang guru pembimbing mualaf.

“Ini menandakan satu kejayaan dalam bentuk komitmen MAIM khususnya untuk memupuk kesedaran dan pematuhan terhadap amalan antirasuah.

“Kami menyokong penuh usaha untuk membasmi perlakuan rasuah, IBR dapat menghindarkan diri daripada terlibat dengan sebarang perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan tuntutan palsu berkaitan semua urusan dengan MAIM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Ceramah Antirasuah Dan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Sukarelawan, Guru Pembimbing Mualaf Dan Pembekal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2024, di Bukit Baru, baru-baru ini.

Shaifulfazlee berkata, pihaknya amat berharap agar tiada individu atau penggerak agensi itu terbabit dengan aktiviti rasuah, sekali gus mencemari komitmen dilaksanakan MAIM.

“Saya amat berharap agar sukarelawan, guru pembimbing termasuk pembekal bantuan makanan sentiasa jujur dan berintegriti dalam mengemukakan sebarang tuntutan selain proses pembekalan juga dibuat dengan telus.

“Ikrar yang sudah dinyata dan dilafazkan diyakini akan menimbulkan kesedaran kepada semua yang terlibat dan pada masa yang sama memberikan perkhidmatan lebih cemerlang selain mengutamakan integriti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

313
Kongsi :
Previous post Kerjasama Persekutuan-Negeri pacu pembangunan Melaka
Next post Kes pukul: Dua polis trafik dilepaskan dengan jaminan polis
Ubah saiz-+=