Lukisan mural ceriakan Wad Pediatrik Putra Specialist Hospital
BANDARAYA MELAKA 21 Jun – Wad Pediatrik Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd (PSH) kini berwajah baharu setelah ia diceriakan dengan lukisan mural secara bergotong-royong.
Ketua Pegawai Eksekutif PSH, Mohd Zahiruddin Ahmad berkata, program bermula pada jam 9 pagi itu membabitkan kerjasama kakitangan, doktor, jururawat serta pesakit di hospital berkenaan.
Katanya, usaha itu sekali gus mampu menaikkan semangat, selain terapi kepada pesakit yang terdiri daripada kanak-kanak daripada berasa takut ketika mendapatkan rawatan di hospital.
“Dengan mural ceria menggunakan karakter kartun dengan tema berwarna-warni ini akan menambahkan ‘mood’ kepada mereka yang menerima rawatan di sini.
“Setakat ini dua kawasan dalam wad ini telah diwarnai dengan lukisan mural di mana ia membabitkan kawasan ruang menunggu lif dan dalam wad yang terletak di tingkat tujuh ini.
“Kita mengambil inisiatif ini kerana kebiasaannya hospital adalah perkara yang ditakuti bagi pesakit kanak-kanak, jadi langkah ini sebagai salah satu usaha kita untuk memastikan mereka yang menerima rawatan bersedia dan menjadikan hospital ini sebagai rumah kedua mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Memperindahkan Wad Kanak-kanak dengan Lukisan Mural di hospital itu, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Zahiruddin, selain memperindah wad kanak-kanak, pelbagai perancangan lain akan dilakukan bagi menambah baik perkhidmatan hospital swasta itu pada masa akan datang.
Jelasnya, selain menumpukan kepada program bantuan dan sumbangan kepada pesakit, pihak hospital turut akan memperluaskan pelbagai program bermanfaat bagi merapatkan hubungan antara komuniti dan hospital itu.
“Kali ini kita mulakan dengan Wad Pediatrik ini dan akan ditambah baik kepada wad-wad yang lain termasuk di kawasan luar hospital.
“Langkah ini akan diteruskan supaya mampu meningkatkan imej hospital sebagai sebuah pusat rawatan terbaik dan setanding dengan jenama hospital swasta yang lain di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.