Jailani diminta bersedia bayar RM100 juta – Dr. Muhamad Akmal
AYER KEROH 19 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis diingatkan supaya bersedia dengan sebarang tindakan bakal dikenakan terhadapnya termasuk denda dianggarkan berjumlah RM100 juta.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ketika ini Kerajaan Negeri gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masih kukuh, meskipun tanpa Muhammad Jailani yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia turut mengingatkan Muhammad Jailani mengenai perjanjian ditandatangani semua Adun BN negeri ini ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung pada November 2021.
“Kalau kita lompat ke parti lain, boleh didakwa dan bayar RM100 juta. Jadi YB Jai (Muhammad Jailani) juga menang atas tiket UMNO tapi melompat (keluar parti).
“Rembia (Muhammad Jailani) bukan faktor kita menang besar ketika itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Zoonosis Peringkat Negeri Melaka di Zoo Melaka, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal yang juga Adun Merlimau, turut membidas dakwaan Muhammad Jailani kononnya UMNO menang besar pada PRN lalu kerana tindakannya menarik sokongan terhadap pentadbiran PH ketika itu.
“Kalau betul-betul anak jantan, kita buat Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Rembia. Bertanding sebagai anak jantan. Cuma saya risau disebabkan suka ‘melompat’, PAS pun tak calonkan dia nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.