Tiada pengurangan kompaun jika ‘bela’ jentik-jentik
AYER KEROH 18 Julai – Satu operasi besar-besaran membanteras pembiakan nyamuk Aedes menyebabkan demam denggi akan dilaksanakan di semua daerah hujung bulan ini.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, operasi sama juga bertujuan meningkatkan lagi kesedaran orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan kediaman atau premis masing-masing.
“Kita melihat bahawa kes denggi di Melaka setakat ini menunjukkan peningkatan sebanyak 133 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu
“Pelbagai usaha gotong-royong dilaksanakan sebelum ini tetapi tidak disambut baik, jadi sepanjang operasi nanti pemilik kediaman atau premis dikenal pasti menjadi tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk Aedes akan terus dikenakan kompauan.
“Kompaun RM500 bagi kesalahan kali pertama dan meningkat kepada RM10,000 bagi kesalahan kali kedua, tidak ada pengurangan, ini pendekatan untuk kita kuat kuasakan undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mewakili Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem pada Bengkel Kepimpinan MyChampion (COMBI) Peringkat Negeri Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa.
Dr. Muhamad Akmal menasihatkan semua penduduk di negeri ini supaya segera membersihkan persekitaran kediaman mereka bagi mengelakkan tindakan kompaun.
“Tarikh operasi kita rahsiakan, tetapi bermula hari ini penduduk perlu segera bersihkan kawasan rumah masing-masing. Mungkin ini salah satu inisiatif menggalakkan penduduk jaga kebersihan dan bertanggungjawab terhadap kediaman mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.