Mayat lelaki dengan ikatan tali dan batu ditemui di Sungai Malim
KESIDANG 17 Julai – Mayat lelaki dengan ikatan tali dan batu pada badan ditemui terapung di empangan Sungai Malim, Jalan IMJ 3, Industri Malim Jaya, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat tanpa identiti itu ditemui terapung dalam keadaan tertiarap di sungai berkenaan oleh orang awam kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mayat mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan, selain terdapat tali nylon yang dibalut plastik melilit bahagian pinggangnya.
Selain itu, ujar beliau, terdapat batu dan tali berukuran tujuh inci turut diikat pada mayat berkenaan.
“Mayat mangsa telah dibawa naik oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan pada bahagian lengan mayat itu turut ditemui beberapa kesan gigitan binatang.
“Bagaimanapun tiada saksi yang berada atau melihat kejadian itu,” katanya.
Menurut Christopher, hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mendapati tiada unsur-unsur jenayah berlaku membabitkan penemuan mayat berkenaan.
Jelasnya, mayat berkenaan kemudiannya telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik untuk tindakan selanjutnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.