Perhebat gotong-royong, atasi kes denggi
TELOK MAS 13 Julai – Lebih banyak program gotong-royong perdana bersama agensi kerajaan diharap dapat dianjurkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dalam usaha menangani kes demam denggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penglibatan lebih banyak agensi bersama masyarakat secara tidak langsung dapat menyampaikan maklumat secara terus.
Katanya, penduduk Telok Mas khususnya perlu menangani wabak denggi dengan sebaiknya kerana DUN Telok Mas merupakan antara kawasan yang merekodkan kes tertinggi.
“Saya minta Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kalau boleh kita sama-sama perhebatkan gotong-royong perdana ini selain saya turut mengalu-alukan agensi atau jabatan kerajaan untuk turut serta, ia secara tidak langsung dapat merakyatkan program mereka.
“Meskipun begitu ini bukan sahaja tanggungjawab agensi atau jabatan kerajaan tetapi masyarakat juga harus memainkan peranan untuk sama-sama selesai isu setempat ini.
“Selain JKN, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga banyak membantu dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan perasmian Program Gotong-royong Perdana Dan Pencegahan Anti Rasuah Bersama Komuniti Telok Mas, di Taman Alai Perdana, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka Adi Supian Shafie.
Sementara itu, Abdul Razak turut menyambut baik penglibatan SPRM daalam program bersama komuniti dengan menerangkan hal berkaitan tatakelola dalam pengurusan kewangan dan membanteras gejala rasuah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.