Sorting by

×

Pesta Kebaya angkat nilai martabat warisan budaya – KM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 13 Julai – Penganjuran Pesta Kebaya dan Busana Klasik @Melaka Heritage Festival berupaya meningkatkan nilai martabat warisan budaya untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pesta itu juga dilihat sebagai usaha bagi menyokong inisiatif negara melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk mengangkat busana kebaya ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, keistimewaan pada busana kebaya wajar diberi pengiktirafan kerana ciri-cirinya merangkumi elemen warisan kebudayaan tidak ketara (WTK) melibatkan kemahiran tenunan tradisional seperti sulaman dan teknik jahitan untuk menghasilkan pakaian tradisional itu.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan penganjuran pesta seumpama ini kerana ia antara usaha untuk mengangkat Kebaya sebagai pencalonan bersama negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand ke Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah ‘Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity’.

“Busana kebaya merupakan pakaian yang melambangkan warisan budaya dan identiti bagi orang Melayu dan peranakan termasuk Cina, Baba Nyonya, Chetti dan Siam serta masyarakat lain termasuklah negara-negara yang masih aktif mengamalkan pemakaiannya di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya merasmikan Pesta Kebaya dan Busana Klasik@ Melaka Heritage Festival 2024 Sempena Ulang Tahun Ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Duta Besar Belanda Ke Malaysia, Jacque War Nar serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, penganjuran pesta itu merupakan sebahagian usaha Kerajaan Negeri mempelbagaikan aktiviti dan produk pelancongan yang menarik bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Jelasnya, usaha tersebut secara tidak langsung dapat mempromosikan Negeri Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

669
Kongsi :
Previous post 400 berarak dengan busana klasik, kebaya di Banda Hilir
Next post Melaka rencana lebih banyak produk pelancongan baharu
Ubah saiz-+=