400 berarak dengan busana klasik, kebaya di Banda Hilir
BANDA HILIR 13 Julai – Hampir 400 peserta berbusana menyertai perarakan Pesta Kebaya dan Busana Klasik @Melaka Heritage Festival Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di hadapan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.
Perarakan berbusana itu disertai oleh 10 agensi antaranya, Beca Klasik; Persatuan Pelancongan Negeri Melaka; Persatuan Peranakan Cina Melaka; Persatuan Basikal Tua; Kumpulan Etnik Portugis dan Persatuan Baba Nyonya Malaysia.
Turut berarak, kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM); Persatuan Kumpulan Tari Triswara Seni Melaka; Pergerakan Wanita UMNO Melaka dan Pergerakan Puteri UMNO Melaka.
Tinjauan Melaka Hari Ini di lokasi mendapati orang ramai turut tidak ketinggalan mengenakan busana klasik dan berkebaya menghadiri pesta terbabit.
Dianggarkan lebih 10,000 pengunjung membanjiri Banda Hilir turut terpesona dengan pelbagai pertunjukan dan persembahan pentas yang disajikan.
Pada pesta terbabit juga dimaklumkan seramai 119 peserta mengambil bahagian dalam Pertandingan Busana Klasik dan Kebaya dan hanya 20 pemenang sahaja akan terpilih untuk membawa pulang hadiah berupa wang tunai, sijil serta tiket menyaksikan teater Hang Tuah – Sahmura Lagenda di Encore Melaka pada 13 Julai.
Pesta tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Duta Besar Belanda Ke Malaysia, Jacque War Nar serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.