Sorting by

×

Ahli Majlis PBT perlu kerap turun padang, cakna keperluan masyarakat

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

REMBIA 12 Julai – Kesemua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diingatkan supaya menjalankan amanah diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab selain kerap turun padang untuk menyelami permasalahan serta keperluan rakyat di kawasan masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berinteraksi dan menyelami realiti sebenar keperluan masyarakat penting bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa dijaga.

“Kita mahu rakyat dapat merasakan ‘the presence of government’. Santunilah rakyat sebaik mungkin seperti mana kepercayaan dan mandat yang telah mereka berikan kepada kita.

“Ahli Majlis perlu sentiasa peka dan proaktif melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan, perlu sentiasa berfikir di luar kotak dalam menangani sesuatu masalah ataupun sebarang keputusan.

“Mereka mesti melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas disandang termasuklah sentiasa peka terhadap hal ehwal tempatan, nasional mahupun peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanatnya pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis dan Ahli Majlis Turut Hadir Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2024 hingga 2025 diadakan di Majlis Perbandaran Alor Gajah, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yassin serta tetamu lain.

Pada majlis itu seramai 10 Ahli Majlis dan 11 Ahli Majlis Turut Hadir baharu dilantik untuk mewakili PBT masing-masing iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPTHJ).

Menurut Ketua Menteri, setiap Ahli Majlis perlu arif dan meningkatkan kefahaman mereka berkaitan aspek perundangan.

“Ia supaya supaya setiap keputusan yang dibuat mempunyai asas yang kukuh dan tidak bercanggah dengan dasar kerajaan.

“Ahli Majlis juga perlu bertanggungjawab memastikan setiap perancangan pembangunan di negeri ini dapat dilaksanakan dengan efisien serta pemprosesan kelulusan pelan-pelan pembangunan dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

157
Kongsi :
Previous post ‘Dulu bangunan MPAG, sekarang pasar raya’
Next post Polis tumpas sindiket penipuan pelaburan ayam kampung
Ubah saiz-+=