‘Dulu bangunan MPAG, sekarang pasar raya’
REMBIA 12 Julai – Bangunan lama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) kini menjadi antara pemangkin kepada pembangunan dan perkembangan ekonomi daerah itu selepas dipilih sebagai lokasi bagi cawangan baharu pemilik syarikat rangkaian pasar raya terkemuka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus mampu menjadi mercu kepada perkembangan ekonomi Melaka dan paling utama bagi beliau adalah peluang pekerjaan baharu yang memberikan manfaat kepada penduduk sekitar.
Ab Rauf berkata, operasi pasar raya baharu dan kafe di bangunan lama MPAG itu juga akan menyumbang kepada peningkatan hasil kepada Kerajaan Negeri yang kemudian disalurkan semula kepada rakyat Melaka.
“Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Melaka juga telah menyokong dan tiada halangan bangunan lama MPAG ini disewakan bagi tujuan premis peruncitan.
“Pasar raya ini merupakan sewaan pajakan selama 30 tahun kepada MPAG dengan kadar deposit dan tawaran sewaan secara pajakan yang telah dipersetujui bersama,” katanya menerusi satu kenyataan.
Terdahulu, Ab Rauf meluangkan masa untuk menyempurnakan perasmian pasar raya baharu itu selain meninjau produk ditawarkan selain menyantuni pelanggan yang datang untuk membeli barangan keperluan.
Bersempena pembukaannya, pasar raya itu telah menawarkan diskaun harga sebanyak 30 hingga 50 peratus buat orang ramai.
Program itu turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin: Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil serta Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.